Tuesday, July 17, 2012

SEUSAI TALKSHOW

"Ramadhan Datang Lagi, Sudah Sediakah Kita?". Begitulah tajuk talkshow anjuran NGO Nisa' Kawasan Batu dengan kerjasama ahli jawatankuasa surau PPR Jelatek, Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu. Bertempat di surau PPR Jelatek, talkshow tersebut menampilkan selebriti yang baru melakukan penghijrahan, Abby Abadi dan personaliti Tanyalah Ustaz TV 9, Ustaz Raihan Abd Aziz dan dipengerusikan oleh panelis rancangan realiti TV Solehah TV Al Hijrah, Wan Suhaili Wan Mohd Yusof. Talkshow yang berlangsung hampir dua jam itu dihadiri kira-kira 200 orang, majoritinya penduduk PPR itu sendiri. Sebagai persediaan menghadapi Ramadhan yang semakin hampir, talkshow hangat dengan kupasan mengenai amalan-amalan sepanjang Ramadhan dan kelebihan berpuasa oleh Ustaz Raihan. Ustaz Raihan antaranya mengingatkan hadirin agar melakukan persediaan rapi bagi menghadapi Ramadhan yang penuh dengan keberkatan. "Mengapa kita tengok bulan Ramadhan masjid penuh, ramai orang beribadat, orang yang tak pernah berselawat pun tiba-tiba berselawat, rezeki peniaga melimpah ruah? Sebab Bulan Ramadhan bulan yang berkat," katanya.
Sementara itu, Abby pula lebih banyak berkongsi mengenai detik-detik penghijrahannya dan cabaran-cabaran yang dihadapi selepas berhijrah. Beliau berkata, cabaran yang paling besar apabila orang di sekeliling memperlekehkannya apabila beliau cuba berkongsi kebaikan. "Saya tidak ada masalah dengan keluarga malah mak ayah saya sangat gembira tengok saya mula menutup aurat. "Tapi ramai orang di luar sana yang kata, saya ni baru belajar agama, dah mula nak ajar orang. Sedangkan saya bukan mengajar, tapi sekadar berkongsi perkara kebaikan yang saya tahu," luahnya. Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Ustaz Raihan dan sesi bergambar ahli jawatankuasa Nisa' Batu bersama Abby.

TALKSHOW DATANG LAGI